Assalamualaikum wbt...

Ahad, 20 Mac 2011

Buang tabiat ke?


A : Wei pe hal ko ni?
B : Nape aku wat salah ka?
A : Dah buang tabiat ke ko ni?
B : Memang pun, aku dalam usaha nak buang tabiat lama..Aku nak try “cipta” tabiat baru..Nape salah ke?
A : Takdelah..tapi pelik ar ko pakai cam ni..tak yah la nak tunjuk baik..
B : Haaa… sebab tu la aku nak kena berubah jadi baik, sebab aku memang tak baik la..tu yg aku usaha nak berubah jadi lebih baik..kalo aku dah baik pun aku nak berubah jadi lebih baik..ko tau tak?
A : Tau pe?
B : Allah tak tengok ko lawa ke x, tapi Dia tengok “baik” ke tak..
A : Aku tau la..tak yah la nak ceramah kat aku..Aku bukan budak kecik yg tak tau ape2..
B : Ooooo..kiranya selama ni ko memang tau la..habis nape tak buat?
A : Aku takde kekuatan la nak pakai cam ko ni..cam ustazah2 je..aku bukannya baik
sangat..
B : Takde kekuatan?! Erm pelik ar..bukan ke ko ni slalu “berkekuatan”..pantang orang
suruh, ko mesti buat punyer, tapi bab ni ko takde kekuatan plak…pelik btol la ko ni..
A : Tak yah la perli aku…
B : Aku tak perli la..takde niat pun…ko jangan riso, aku tak suka perli2 ni…Cuma kutuk
sikit jer..hehe..
A : Kurang asam minah ni…
B : Haa..sebab tu la aku nak tambah..nak touch up, nak lebihkan..supaya yg kurang tu bertambah..ko ni..cam tak tau plak..A ko tau tak?
A : Ape?
B : Kekuatan tu datang dari mana??
A : Ntah? malas aku nak fikir..
B : Haaa…tengok…tu tabiat yg ko perlu buang..kalo ko x tau tanya la wei..xkan ko malu
kot ngan aku..memang bukan ko ar kalo malu..sebab aku tau ko ni jenis spesis yg x malu..
Sebenarnya kekuatan tu datang dr diri kta sendiri, keadaan persekitaran pun memainkan peranan gak, tapi tu hanya sebagai sokongan gak..tapi yg paling2 penting adalah diri kita sendiri…
A : Ko ni kan..kalo bab2 ceramah pandaiiii jer…
B : Bukan ceramah, Cuma kongsi idea jer…
A : Ye la…
Sahabat2 kenapa susah sangat kita nak berubah, sedangkan kita dah tahu benda tu tak betul? Sebab kita takde kekuatan..betul ke? Hakikatnya sebab kita risau apa pandangan org lain pada kita..Sebenarnya kekuatan tu kita boleh kawal sebab benda tu datang dari dalam diri kita sendiri..Jadi, kalau kita nak kata sebab kekuatan, agak mustahil la..Kita sebenarnya lebih mementingkan pandangan orang lain..pandangan manusia lain..takut nanti bila kita dah berubah, orang akan mengata dan perli, mengumpat pasal kita..Patut ke kita kisah tu semua? Sebenarnya kita nak cari redha siapa? Redha manusia ke? Ingat sahabat2..memang kita nak kena cari redha manusia..tapi cuma 2 org manusia jer..MAK AYAH…kat dunia ni kita cuma nak kena cari redha mak ayah supaya kita boleh dapatkan redha Allah S.W.T..tapi tujuan utuma kita hidup adalah untuk kejar redha Allah S.W.T..
Jadi jangan sekali2 malu nak buat baik..tapi malulah untuk buat jahat..jangan kisah dengan kata2 manusia lain..yg penting kita tahu apa yg kita buat…sanggup ke kita menderita lama hanya kerana nak mengejar bahagia yg sementara? Fikir2 kanlah…hanya kita yg berhak keatas diri kita ini…jangan sia2kan “anugerah” ni… 
(Tepuk dada, tanya iman)
waallahualam... =)

*maaf kerana sudah lama tak update kerana byk urusan spt exam, jaulah dan lain2...
  ampun maaf dipinta... =D

Isnin, 7 Mac 2011

Perjuangan berdasar akidah selesai isu umat


2011/03/07

Pemimpin politik mesti bertanggungjawab daulat, martabat Islam di Malaysia

SELAIN parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting menyuarakan isi hati rakyat. NGO seharusnya bersifat non partisan terhadap politik kepartian di Malaysia. 

Walaupun tidak menyertai pilihan raya, pertubuhan khususnya NGO Islam melihat pilihan raya sebagai wadah perubahan masyarakat. NGO sebagai kuasa ketiga hendaklah dilihat sebagai melengkapi perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia.
Menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat dipilih mendaulatkan Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Apatah lagi, sebagai sebuah negara majoriti umat Islam yang mengiktiraf peranan penting Islam dalam sistem politik, ekonomi dan undang-undang.
Islam yang dinyatakan dalam erti kata sebenar iaitu sebagai cara hidup, bukan terhad kepada amalan ritual atau ibadat khusus semata-mata. Ia termasuk menjaga integriti badan perundangan seperti Parlimen dan agensi kerajaan supaya bebas rasuah, salah guna kuasa atau menjadi ejen perpecahan kalangan umat Islam. 

Pembetulan secara dalaman atau intra umat Islam juga perlu dilakukan bagi memastikan negara akan maju dan berupaya mendaulatkan Islam kerana umat Islam adalah komposisi penting dan terbesar dalam demografi negara kita. 

Dalam isu antara agama pula, umat Islam daripada kalangan NGO yang berpaksi kepada Islam dan pertubuhan politik mesti bersatu atas asas akidah yang satu. Ada pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi umat Islam untuk duduk semeja menyelesaikan segala permasalahan antara agama secara tuntas dengan hikmah didasari perundangan Islam itu sendiri. 

Umpamanya satu ketika dulu ada cadangan mewujudkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) bertujuan mempromosi kebebasan berlandaskan fahaman sekular-liberal, juga tindakan mempersenda Islam secara lisan, tulisan ataupun media siber dan elektronik serta penghinaan terhadap ajaran Islam perlu ditangani dengan penuh hikmah. 
Penyeragaman undang-undang Islam juga masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya. Akta Profesion Guaman Syarie bagi mengawal selia peguam syarie seluruh negara seperti peguam sivil, masih belum menjadi realiti. 

Malah undang-undang mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam di seluruh negara selaras Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan masih belum dikuatkuasakan. 

Sehingga kini Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang itu yang menyebabkan perbezaan ketara undang-undang antara negeri. Lebih menyedihkan negeri yang sudah ada undang-undang ini pun masih belum melaksanakannya. 

Segala usaha perlu disepadukan bagi meningkat tahap profesionalisme dan keberkesanan agensi Islam dalam kerangka mendaulatkan Islam di Malaysia. Kerajaan dituntut mengambil tindakan tegas termasuk ke tahap membatalkan mana-mana lesen perniagaan majikan yang menyukarkan apatah lagi menghalang pekerja Islam mengamalkan ajaran Islam seperti menghalang pemakaian tudung, solat , berpuasa, cuti mengerjakan haji dan lain-lain syiar Islam. 

Seorang Muslim yang baik sudah pasti menjadi warga negara dibanggakan. Proses pembentukan jati diri Muslim perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan yang mementingkan Islam sebagai satu cara hidup. 

Dalam merangka garis panduan hiburan, kerajaan seharusnya peka dan memahami aspirasi serta sensitiviti umat Islam. Program hiburan mempromosi budaya hendonisme Barat perlu dihentikan termasuk program hiburan realiti yang langsung tidak mencorak masyarakat Islam rabbani. 

Sistem politik dan tadbir urus baik adalah syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara. Kesejahteraan rakyat akan terbela dengan mewujudkan sistem politik adil, tadbir urus baik dan sistem penyampaian cekap. 

NGO sentiasa memantau integriti ini supaya negara menjadi teladan kepada dunia Islam lain. Sebagai negara majoriti umat Islam yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian hubungan kaum dan agama adalah ramuan utama kestabilan politik serta ketenteraman awam. 

Usaha ekstremis agama dan perkauman sempit hendaklah ditolak. Oleh demikian, pemimpin kerajaan hendaklah mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan kaum dan agama. Pemimpin politik yang tidak sensitif terhadap kepentingan hubungan kaum dan agama termasuk mempersendakan kedudukan agama Islam di Malaysia hendaklah ditolak. 

Perkara disebutkan di atas adalah antara perkara yang didokongi NGO Islam yang menagih perhatian ahli politik. NGO akan terus dengan sikap non partisan mereka menuntut keadilan daripada pimpinan politik. 

NGO dan parti politik Islam seharusnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan tidak seharusnya timbul mendabik dada siapa lebih penting mendaulatkan Islam. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri dan jika digabungkan sudah tentu suara umat Islam akan menjadi lebih gah serta dihormati. 

Namun, setiap perjuangan itu tidak semudah menulis di ruangan ini. Ia memerlukan minda terbuka dan ikhlas dalam usaha memartabatkan agama bangsa dan negara. Umat Islam di Malaysia memang sudah berpecah tetapi masih mempunyai satu pertautan kuat iaitu ikatan akidah. 

Jika semua perjuangan didasari dengan akidah yang mantap perjuangan tidak akan tersasar dari landasan yang benar. Pemimpin politik mestilah meneliti masalah ini dan cuba bersama-sama menyelesaikan kemelut yang melanda umat Islam di Malaysia. 

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui: zainul.rijal@abubakar.my 

kredit- berita harian